Blogger Widgets

Sunday, 4 September 2011

Model karangan spm- Usaha-usaha memupuk semangat cinta akan negara dalam kalangan pelajar

     1 Malaysia; Transformasi Berjaya; Rakyat Sejahtera. Demikianlah tema kemerdekaan Malaysia pada tahun ini. Sudah genap 54 tahun negara kita bebas daripada konkongan penjajah. Tetapi, dalam meniti kehidupan yang bertunjangkan nawaitu materialistik dan individualistik ini, semangat cinta akan negara semakin luntur dalam kalangan masyarakat, terutamanya golongan pelajar. Hal ini berlaku demikian kerana, masing-masing sibuk dengan urusan sendiri, terutamanya pelajar yang hanya mementingkan pelajaran. Mereka tidak mempedulikan sambutan Hari Kebangsaan, contohnya tidak mengibarkan jalur gemilang semasa sambutan Hari Kebangsaan dijalankan. Usaha pasti akan membuahkan hasil iika pelbagai langkah yang efektif dan drastik dilakukan segera untuk mengatasi masalah yang sudah bersarang lama di negara kita ini, iaitu kekurangan semangat patriotisme dalam kalangan pelajar.

     "Yang paling kita perlukan dalam kehidupan ialah adanya seseorang yang selalunya memberi semangat untuk melaksanakan hal-hal yang dapat kita kerjakan". Demikianlah kata-kata Davey John Schwartz. Maka, dalam konteks ini ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk menanam citra budaya dan jati diri dalam sanubari anak-anak sejak kecil lagi. Mereka seyogianya memberi semangat untuk anak-anak supaya mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti sempena bulan kemerdekaan di sekolah. Memandangkan kanak-kanak lebih suka berpeleseran dengan keseronokan, ibu bapa harus memesongkan fikiran mereka ke arah aktiviti-aktiviti sebegini. Malah, ibu bapa juga harus sentiasa menceritakan jasa dan sumbangan tokoh-tokoh masa lampau supaya anak-anak menghargai jasa mereka kerana dapat menghirup udara hasil kemerdekaan. Pemupukan semangat patriotik haruslah dari bangku sekolah lagi seperti kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Maka peranan ibu bapa ini amat penting kerana dapat melahirkan masyarakat yang cinta akan negara dan teknokrat yang bertaraf dunia untuk mengharumkan nama negara di persada dunia.


     Jika kita membuka lipatan sejarah, British telah mengamalkan dasar pecah dan perintah, iaitu memecahbelahkan rakyat mengikut kaum agar tidak mendapat tentangan mereka.. Akhirnya, usaha pakatan murni pada tahun 1949 telah menyatupadukan rakyat pelbagai agama, bangsa dan budaya. Maka, kita sebagai rakyat harus bersyukur dan meneruskan perpaduan kaum ini. Untuk itu, pihak kerajaan seyogianya menubuhkan lebih banyak sekolah wawasan. Sistem pendidikan vernakular masih diteruskan tetapi kawasan-kawasan seperti kantin dan padang dikongsi antara sekolah kebangsaan, cina dan tamil untuk mewujudkan perpaduan kaum sejak di bangku sekolah lagi. Usaha ini sudah pasti akan dapat mengurangkan jurang perbezaan antara kaum apabila para pelajar berinteraksi antara satu sama lain. Dengan ini, konsep 1Malaysia juga dapat direalisasikan dan dapat memupuk semangat cinta akan negara dalam kalangan pelajar. Maka, kerajaan harus mengambil inisiatif untuk menubuhkan lebih banyak sekolah wawasan di negara kita untuk memupuk semangat cinta akan negara dalam kalangan pelajar.


     Titik tolak daripada itu, peranan media massa juga tidak kurang pentingnya untuk membajai semangat cinta akan tanah air dalam kalangan pelajar. Peranan mereka untuk memupuk semangat patritisme dalam kalangan rakyat amat besar kerana media massa dan elektronik berperanan sebagai 'Penyebar Maklumat untuk Negara'. Majalah-majalah untuk pelajar seperti e@siswa, Dewan Siswa, Kosmik, Masyarakat dan surat khabar haruslah menerbitkan artikel, rencana, novel ringkas atau cerita berkaitan nilai patriotisme. Para pelajar lebih menggemari membaca majalah yang berwarna-warni daripada buku-buku ilmiah. Maka pihak penerbit haruslah menyiarkan karya-karya yang bersifat patritik dan juga menggalakkan pelajar untuk menghasilkan karya-karya sedemikian. Selain itu, sempena sambutan Hari Kebangsaan pelbagai program khas boleh oleh Jabatan penyiaran untuk membajai semangat cinta akan Negara ke dalam sanubari pelajar. Contohnya, kartun-kartun atau drama yang mengisahkan kisah-kisah perjuangan kemerdekaan, kerana pelajar tidak lagi menggemari filem zaman silam. Pihak-pihak tertentu haruslah mengambil inisiatif untuk mengubahsuai filem silam seperti Bukit Kepong dan Paloh supaya menarik ditonton. Oleh itu, jelaslah pendedahan media massa juga dapat menghangatkan lagi senario ini dan memupuk semangat cinta akan Negara dalam kalangan pelajar.
           
     Di samping itu, pihak sekolah pula perlulah menjalankan aktiviti yang bersesuaian dalam usaha untuk memupuk semangat cinta akan tanah air dalam kalangan pelajar. Satu tamsilnya, melalui mata pelajaran Bahasa Malaysia, Sejarah, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, nilai cinta akan negara boleh disuntik kepada generasi pelapis. Subjek Sejarah pula menceritakan perjuangan tokoh-tokoh silam dan keperitan yang dialami masyarakat ketika zaman penjajahan. Maka, subjek ini menerapkan nilai patriotism secara tidak langsung dan pelajar juga haruslah mengambil iktibar supaya kejadian dan kekhilafan masa lampau tidak berulang. Subjek tersebut dipelajari secara formal di dalam kelas, diuji dalam peperiksaan dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Maka, penekanan tentang semangat cinta akan Negara melalui kurikulum juga merupakan satu tindakan yang maslahat.
           
     Pada masa yang sama, pihak swasta bersama-sama pihak kerajaan juga sewajarnya bertindak proaktif untuk menanam semangat cinta akan Negara dalam kalangan pelajar. Salah satu tindakan yang signifikan adalah dengan mengadakan kempen secara besar-besaran sempena bulan kemerdekaan. Kempen-kempen sebegini haruslah diberi penekanan oleh Kementerian Penerangan Malaysia untuk meningkatkan tahap kesedaran dan kepentingan semangat patriotism dalam kalangan pelajar. Peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Rakyat yang cinta akan tanah air akan sentiasa berusaha memajukan tanah airnya dan memberi galakan kepada produk-produk tempatan. Sehubungan dengan itu, ekspo buah-buahan tempatan, ekspo fesyen pakaian tempatan dan ekspo industry kecil dan sederhana juga boleh diusahakan dari masa ke masa di sekolah atau Bandar. Hakikatnya, Jom Heboh yang dianjurkan oleh TV3 telah berjaya mengadakan ekspo barangan buatan Malaysia kepada pengguna dan berjaya mendapat sambutan yang hangat. Pihak kerajaan atau swasta seyogianya bersikap komited bagai genggam bara api biar sampai jadi arang. Maka, kempen dan ekspo yang dijalankan oleh pihak kerajaan mahupun swasta sudah tentu boleh memasakkan semangat cinta akan negara dalam kalangan pelajar.

    Akhir kalam, rakyat Malaysia patut menghayati tema Hari Kemerdekaan : Transformasi berjaya; Rakyat sejahtera. Seisi negara patut seia sekata sebagai satu bangsa yang ingin memperkasakan perubahan sikap dengan menyemai semangat cinta akan negara dalam diri  kita. " Negara yang maju adalah hasil kerjasama rakyat pelbagai kaum di dalam sesebuah negara". Demikianlah kata-kata bekas Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Dr. Mahathir Mohammad. Oleh itu, usaha-usaha untuk memupuk semangat cinta akan negara perlulah dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Individu yang mempunyai semangat patritik akan sentiasa berusa untuk memajukan diri, bangsa dan negara. Sekiranya semangat patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan pelajar, terutamanya remaja, mereka tidak akan mempunyai jati diri yang kukuh, dan akan mencerminkan generasi yang muflis dan tercabut daripada akar tradisinya. Jika semua lapisan masyarakat menggembleng tenaga ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, insya-Allah semangat cinta akan negara dapat dipupuk dalam kalangan pelajar.... ~~~~~~

No comments: